Wednesday, August 18, 2010

Utamakan Kualiti dari Kuantiti

Assalamu alaikum warahmatullah,
Saudara-saudari yang dirahmati Allah,
Di antara perkara yang menjadi syi’ar dalam bulan Ramadhan ialah solat sunat tarawih yang kita hadiri pada malam ini. Solat ini sangat besar pahalanya seperti hadis yang

diriwayatkan oleh Muslim dari Abu Hurairah r.a. katanya:
“ Rasulullah (saw) menganjurkan untuk mengerjakan solat pada malam bulan Ramadhan,
tetapi tidak mewajibkannya.

Beliau bersabda: “Barangsiapa yang bangun pada malam bulan Ramadhan kerana iman dan mengharapkan keredhaan Allah, maka diampunilah dosa-dosanya yang telah lalu.” “

Cukuplah bagi kita hadis Nabi (saw) ini untuk menjadi perangsang kepada kita untuk
solat tarawih. Baginda menganjurkannya sambil menjanjikan keampunan dari dosa-dosa
yang telah lalu.

Saudara-saudari yang budiman,
Kita semua orang yang berdosa.. maka marilah kita merebut peluang untuk mendapatkan
keampunan bagi dosa-dosa kita. Satu perkara yang harus diperhatikan ialah syarat yang diletakkan oleh Nabi (saw) untuk mendapat pengampunan dosa yang telah lalu ialah kita bangun bersolat dengan “imaanan wah tisaaban” yang diterjemahkan sebagai kerana “ iman dan mengharapkan keredhaan Allah”. Maknanya kita memastikan ketulusan iman, keikhlasan niat, penyerahan yang
redha kepada Allah. Ia bermakna kita perlu berusaha meningkatkan kualiti tarawih kita. Satu perkara yang sering menjadi bahan polemik mengenai tarawih ialah bilangan rakaatnya. Ada pula yang menimbulkan polemik lain; solat berseorangankah yang baik atau berjamaah? Sikap terbaik dalam hal ini ialah kita berlapang dada dengan perbezaan pendapat yang wujud ini tanpa memperkecilkan atau meremehkan salah satu pendapat yang lain. Polemik ini akan tidak berkesudahan kerana masing-masing mempunyai kekuatan hujjahnya masing-masing.

Yang penting, pilihlah satu pendapat yang kita yakini hujjahnya dan berusahalah mencari
jalan bagi mendapatkan solat tarawih yang paling berkualiti. Ini mungkin bermakna kita akan solat di surau berdekatan rumah kita atau kita terpaksa bersolat di masjid atau surau yang jauh dari rumah kita. Atau mungkin ia bermakna kita akan solat sendirian atau bersama keluarga di rumah.

Saudara-saudari yang budiman,
Apa yang perlu kita risaukan ialah bagaimana kualiti tarawih tersebut; tidak kira samada ianya 20 atau 8 rakaat, di masjid jauh atau di surau dekat, kita kerjakan berseorangan atau berjamaah.
Pokoknya, solat tarawih yang mempunyai kualiti “imaanan wah tisaaban” bukan dibuat sekadar melepaskan batuk di tangga tetapi dengan perancangan yang sedar dan pemilihan yang teliti. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa kita dan memasukkan kita di kalangan orang yang diredhai-Nya.

No comments:

Post a Comment

Free Hit Counter