Saturday, February 25, 2012

Bahtera Nabi NUH,WALLAH HU AKLAM



1) Hud [36] Dan (setelah itu) diwahyukan kepada Nabi Nuh: Bahawa sesungguhnya tidak akan beriman lagi dari kaummu melainkan orang-orang yang telah sedia beriman. Oleh itu, janganlah engkau berdukacita tentang apa yang mereka sentiasa lakukan.

Namanya Finus. Nabi ke 3, sebelum kelahirannya manusia banyak jadi kufur. Umur Nabi Nuh ialah 1540 tahun. Siang malam Nabi Nuh berdakwah, sehingga 700 atau 1000 tahun. Namun umatnya semakin liar, makin jauh. Lalu Nabi Nuh berdoa supaya dihapuskan semua umatnya, tanpa tinggal 1 orang pun kerana penyakit kufur dan syirik sangat bahaya jika membiak.

Doa Nabi Nuh

Nuh [5] (Setelah puas menyeru mereka), Nabi Nuh berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam (supaya mereka beriman); [6] Maka seruanku itu tidak memberikan mereka (sesuatu faedah pun) selain daripada menambahi mereka melarikan diri (dari kebenaran).

Doa Nabi Nuh dikabulkan oleh Allah .

Al-Anbiyaa [76] Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Nuh, ketika dia menyeru (berdoa kepada Kami) sebelum (Nabi-nabi yang tersebut) itu, lalu Kami perkenankan doanya serta Kami selamatkan dia dan pengikut-pengikutnya dari kesusahan yang besar.

Saffat [75] Dan demi sesungguhnya, Nabi Nuh telah berdoa merayu kepada Kami (memohon pertolongan), maka Kami adalah sebaik-baik yang kabulkan doa permohonan. [76] Dan Kami telah selamatkan dia bersama-sama dengan keluarga dan pengikut-pengikutnya, dari kesusahan yang besar.

Membina bahtera

2) Hud [37] Dan buatlah bahtera dengan pengawasan serta kawalan Kami dan dengan panduan wahyu Kami (tentang cara membuatnya) dan janganlah engkau merayu kepadaKu untuk menolong kaum yang zalim itu, kerana sesungguhnya mereka akan ditenggelamkan (dengan taufan).

Nabi Nuh dan pengikutnya disuruh membuat bahtera kerana azab dalam bentuk air akan datang. Hanya 80 pengikut Nabi Nuh ( 3 ahli keluarga, 77 bukan ahli keluarga).

3) Hud [38] Dan Nabi Nuh pun membuat bahtera itu dan tiap-tiap kali sepuak dari kaumnya melalui tempat dia membina bahteranya, mereka mengejek-ejeknya. Nabi Nuh pun menjawab: Jika kamu memandang kami bodoh (kerana membuat bahtera ini), maka sesungguhnya kami juga memandang kamu bodoh (kerana keingkaran kamu), sebagai (balasan) ejekan kamu

Diceritakan setengah ulama, setelah siap dibina bahtera, ada diantara kaum Nabi Nuh yang membuang najis mereka ke dalam bahtera itu. Satu hari seorang buta terjatuh ke dalam bahtera dan terkena najis, lalu menjadi celik. Setelah kisah itu diketahui ramai, kaum Nabi Nuh datang untuk mengambil najis di dalam bahtera untuk dijadikan sebagai ubat berbagai penyakit, sehingga akhirnya bersihlah bahtera itu. Dengan izin Allah, ubat hanya ikhtiar Allah yang menyembuhkan penyakit.

4) Hud [39] Maka kamu akan mengetahui siapakah yang akan didatangi azab yang menghinakannya di dunia dan yang akan ditimpakan pula dengan azab yang kekal pada hari akhirat kelak.

Azab dan rahmat semuanya dari Allah. Bencana alam seperti banjir juga azab dalam bentuk air dari Allah supaya kita kembali kepadanya.

Ruum [41] Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).

5) Hud[40] (Nabi Nuh terus bekerja) sehingga apabila datang hukum Kami untuk membinasakan mereka dan air memancut-mancut dari muka bumi (yang menandakan kedatangan taufan), Kami berfirman kepada Nabi Nuh: Bawalah dalam bahtera itu dua dari tiap-tiap sejenis haiwan (jantan dan betina) dan bawalah ahlimu kecuali orang yang telah ditetapkan hukuman azab atasnya (disebabkan kekufurannya), juga bawalah orang-orang beriman dan tidak ada orang-orang yang beriman yang turut bersama-samanya, melainkan sedikit sahaja.

Binasa kecuali orang yang dikecualikan oleh Allah. Nabi Nuh terlupa membawa seorang perempuan tua, dia tidak dibinasakan dalam pondok buruknya kerana dia seorang yang beriman. Allah sudah jamin pengikut Nabi Nuh akan selamat, walaupun tidak naik bahtera. Manakala anak Nabi Nuh (Kin’an) dan isteri Nabi Nuh dibinasakan kerana mereka tidak beriman . Tiada siapa dapat menahan dari dibinasakan Allah:

Al-Maidah [17] Demi sesungguhnya, kafirlah orang-orang yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni Mariam”. Katakanlah (wahai Muhammad): (Dakwaan itu tidak benar) kerana siapakah yang dapat menahan (seksa) dari Allah sedikit jua pun kalau Dia mahu membinasakan Al-Masih Ibni Mariam berserta ibunya dan orang-orang yang ada di muka bumi semuanya?

6) Hud [41] Dan (ketika itu) berkatalah Nabi Nuh (kepada pengikut-pengikutnya yang beriman): Naiklah kamu ke bahtera itu sambil berkata: Dengan nama Allah bergerak lajunya dan berhentinya. Sesungguhnya Tuhanku adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Doa naik bahtera

“Dengan nama Allah bergerak lajunya dan berhentinya” – “Bismillahi majrayha wa mursaha”
Free Hit Counter