Wednesday, July 21, 2010

10 orang yang dijamin?

Pangkat tertinggi yang pernah diberikan oleh Rasulullah SAW kepada para sahabatnya adalah Jaminan Masuk Syurga. Suatu pangkat yang tidak dapat diragui lagi merupakan anugerah tertinggi yang pernah diberi kepada manusia biasa selain para rasul dan nabi.

Kita boleh membayangkan bagaimana jika kita hidup di kala itu, dan berpeluang berjumpa dengan ahli-ahli syurga yang masih hidup. Kita dapat berjalan-jalan di pasar dan melihat bagaimana mereka berjual beli, kita dapat melihat bagaimana bakal ahli syurga bermuamalah, beribadah, berkata-kata, makan, minum, berjihad dan kehidupan mereka keseluruhannya.

Subhanallah, selain daripada Rasulullah SAW, adakah kita akan mengambil idola yang lain selain mereka ini? Tentu sekali tidak.

Siapakah mereka?

Daripada Abu Dzar RA, bahawa Rasulullah SAW masuk ke rumah Aisyah RA dan bersabda:

“Wahai Aisyah, inginkah engkau mendengar khabar gembira?”

Aisyah menjawab : “Tentu, ya Rasulullah.”

Lalu Nabi SAW bersabda,
“Ada sepuluh orang yang mendapat khabar gembira masuk syurga, iaitu:-
1) Ayahmu (Abu Bakar) masuk syurga dan kawannya adalah Ibrahim
2) Umar masuk syurga dan kawannya Nuh
3) Uthman masuk syurga dan kawannya adalah aku
4) Ali masuk syurga dan kawannya adalah Yahya bin Zakaria
5) Thalhah masuk syurga dan kawannya adalah Daud
6) Az Zubair masuk syurga dan kawannya adalah Ismail
7) Sa’ad masuk syurga dan kawannya adalah Sulaiman
8) Said bin Zaid masuk syurga dan kawannya adalah Musa bin Imran
9) Abdul Rahman bin Auf masuk syurga dan kawannya adalah Isa bin Maryam
10) Abu Ubaidah bin Jarrah masuk syurga dan kawannya adalah Idris Alaihissalam.”

sirah ringkas

InsyaAllah, dalam artikel kali ini kita akan menyusuri sirah ringkas empat daripada sepuluh manusia-manusia terhebat sepanjang zaman ini.

1. Abu Bakar bin Abi Quhafah (As-Siddiq):

Beliau adalah seorang Quraisy dari kabilah yang sama dengan Rasulullah, hanya berbeza keluarga. Beliau berasal dari keluarga Tamimi, manakala Rasulullah berasal dari keluarga Hasyimi.

Abu Bakar adalah seorang pedagang yang selalu menjaga kehormatan diri. Beliau seorang yang kaya, pengaruhnya besar serta memiliki akhlak yang mulia. Sebelum datangnya Islam, beliau adalah sahabat Rasulullah yang memiliki ciri-ciri yang mirip dengan Rasulullah.

Belum pernah ada orang yang menyaksikan Abu Bakar minum arak ataupun menyembah berhala. Dia tidak pernah berdusta. Begitu banyak kemiripan antara beliau dengan Rasulullah sehingga tidak hairan kemudian beliau menjadi khalifah pertama setelah Rasulullah wafat.

Rasulullah selalu mengutamakan Abu Bakar berbanding para sahabatnya yang lain sehingga nampak menonjol di tengah tengah orang lain. Sabda baginda:

“Jika ditimbang keimanan Abu Bakar dengan keimanan seluruh umat nescaya akan lebih berat keimanan Abu Bakar.” (Riwayat Al-Baihaqi)

Al-Quran juga banyak mengisyaratkan sikap dan tindakannya seperti dalam firman Allah pada surah Al-Lail ayat 5-7 dan 17-21, Fussilat ayat 30 serta At Taubah ayat 40.

Dalam masa yang singkat sebagai Khalifah, Abu Bakar telah banyak memperbarui kehidupan kaum muslimin, memerangi nabi palsu, dan kaum muslimin yang tidak mahu membayar zakat. Pada masa pemerintahannya juga penulisan Al Quran dalam lembaran-lembaran dimulai.

2. Umar bin Al-Khattab:

Beliau berasal dari kabilah yang sama dengan Rasulullah SAW dan malah berkongsi moyang yang sama iaitu Ka’ab bin Luai. Umar masuk Islam setelah bertemu dengan adiknya Fatimah dan suami adiknya Said bin Zaid pada tahun ke-6 kenabian.

Pada kaumnya, Umar dikenal sebagai seorang yang pandai berdiskusi, berdialog, memecahkan permasalahan serta berpenampilan kasar.

Setelah Umar masuk Islam, dakwah kemudiannya dilakukan secara terang-terangan, begitupun di saat hijrah, Umar merupakan di antara segelintir sahabat yang berhijrah secara terang-terangan. Beliau sengaja berangkat pada siang hari dan melewati gerombolan Quraisy. Ketika melewati mereka, Umar berkata:

“Aku akan meninggalkan Mekah dan menuju Madinah. Siapa yang ingin menjadikan ibunya kehilangan puteranya atau ingin anaknya menjadi yatim, silakan menghadang aku di belakang lembah ini!”

Mendengar perkataan Umar tidak seorangpun yang berani mengekori apalagi menghalangnya.

Banyak pendapat Umar yang dibenarkan oleh Allah dengan menurunkan firman-Nya seperti saat peristiwa kematian Abdullah bin Ubay (At-Taubah 9:84), ataupun saat penentuan perlakuan terhadap tawanan saat perang Badar, pendapat Umar dibenarkan Allah dengan turunnya ayat 67 surat Al-Anfal.

Sebagai khalifah, Umar adalah seorang yang sangat memperhatikan kesejahteraan umatnya, hinggakan setiap malam ia berkeliling rumah rakyatnya khuatir jika masih ada yang belum terpenuhi keperluan mereka. Kekuasaan Islam pun semakin meluas keluar jazirah Arab di masa kekhalifahan beliau.

3. Uthman bin Affan.

Sebuah Hadith yang menggambarkan peribadi Uthman, di mana Rasulullah SAW bersabda;

“Orang yang paling kasih sayang di antara umatku adalah Abu Bakar, dan paling teguh dalam menjaga ajaran Allah adalah Umar, dan yang paling bersifat pemalu adalah Uthman.”
(Riwayat Ahmad, Ibnu Majah, Al-Hakim dan At-Tirmidzi)

Uthman adalah seorang yang sangat dermawan. Dalam persiapan pasukan Muslimin pada perang Tabuk, Uthman yang menginfaqkan ratusan ekor unta. Setelah kaum muslimin hijrah, saat kesulitan air, Uthmanlah yang membeli perigi daripada seorang Yahudi untuk kepentingan kaum muslimin.

Pada masa kepemimpinannya Uthman merintis penulisan Al Quran dalam bentuk mushaf, daripada lembaran-lembaran yang mulai ditulis pada masa pemerintahan Khalifah Abu Bakar

4. Ali bin Abi Thalib.

Beliau merupakan sepupu Rasulullah SAW yang juga merupakan pemuda pertama memeluk Islam. Beliau tinggal bersama-sama baginda dan menerima asuhan oleh manusia yang paling agung ini sejak kecil lagi.

Berkeperibadian mulia dan memiliki kecerdasan dan keilmuan yang tinggi. Di samping bersikap berani seperti yang ditunjukkannya ketika menggantikan tempat tidur Rasulullah ketika baginda berhijrah bersama Abu Bakar.

Ali juga yang dinikahkan oleh Rasulullah dengan puteri kesayangannya Fatimah. Kedua-dua suami isteri ini hidup dengan begitu sederhana dan tidak mempergunakan jawatan Rasulullah sebagai ketua negara Madinah untuk hidup mewah.
Beliau dilantik menjadi Khalifah Islam ke-4 setelah kematian Uthman bin Affan.

5. Thalhah bin Ubaidillah:

Sahabat inilah yang pada perang Uhud terkena lebih daripada 70 tikaman dan panah. Jari tangannya pula putus. Namun, Thalhah yang bertubuh tegap dan kuat inilah yang melindungi Rasulullah di saat-saat genting tersebut. Beliau memapah Rasulullah yang tercedera menaiki bukit Uhud yang berada di hujung medan pertempuran ketika kaum musyrikin pergi meninggalkan medan peperangan kerana mengira Rasulullah telah wafat.

Saat itu Thalhah berkata kepada Rasulullah, “Aku tebus engkau ya Rasulullah dengan ayah dan ibuku.” Nabi tersenyum seraya bersabda, “Engkau adalah Thalhah kebajikan.”

Sejak itu beliau mendapat julukan Burung Helang dari Uhud.

Rasulullah pernah berkata kepada para sahabat: “Orang ini (Thalhah) termasuk yang gugur (di medan Uhud) dan barangsiapa yang ingin melihat seorang yang syahid berjalan di muka bumi maka lihatlah Thalhah.”

6. Az-Zubair bin Awwam:

Beliau adalah sahabat karib Thalhah. Beliau memeluk Islam pada usia 15 tahun dan berhjrah pada usia 18 tahun. Beliau telah menerima Islam dengan seksaan daripada bapa saudaranya sendiri semasa awal dakwah di Mekah.

Kepahlawanan beliau terserlah dalam Perang Badar saat beliau berhadapan dengan Ubaidah bin Said bin Ash. Az-Zubair berhasil menombak kedua mata musuhnya sehingga akhirnya tersungkur tak bergerak lagi. Hal ini membuat pasukan Quraisy ketakutan.

Rasulullah sangat mencintainya. Baginda pernah bersabda:

“Setiap nabi memiliki pendamping yang setia (hawari), dan hawariku adalah Az-Zubair bin Awwam.”

Beliau adalah suami Asma’ binti Abu Bakar yang menghantarkan makanan pada baginda sewaktu Nabi berhijrah bersama ayahnya.

Pada masa pemerintahan Umar, umat Islam berperang menghadapi tentara Rom di Mesir. Generalnya, Amr bin Ash meminta bala tentera bantuan daripada Amirul Mukminin, lalu Umar mengirimkan 4000 perajurit yang dipimpin oleh 4 orang komandan dan beliau menulis surat berisi;

“Aku mengirim empat ribu perajurit bala bantuan yang dipimpin empat orang sahabat terkemuka dan masing-masing bernilai seribu orang.”

Mereka adalah Ubadah bin As Shomit, Al Miqdaad ibnul Aswad, Maslamah bin Mukhalid, dan Az-Zubair bin Awwam. Demikianlah dengan izin Allah, pasukan kaum muslimin berhasil meraih kemenangan.

7. Abdul Rahman bin Auf:

Beliau merupakan seorang usahawan dan pedagang yang berjaya di Mekah. Namun, ketika berhijrah ke Madinah beliau meninggalkan kesemua harta yang telah diusahakannya sekian lama.

Bakat keusahawanannya membolehkannya kembali menguasai pedagangan di Madinah. Dalam masa yang singkat berjaya menjadi kaya raya serta mampu menguasai Pasar Ukaz yang sebelumnya dikuasai pedagang yahudi.

Sebelum beliau meninggal dunia, beliau mewasiatkan agar setiap peserta perang Badar yang masih hidup mendapat 400 dinar. Sahabat yang menyertai Perang Badar dan masih hidup ketika itu jumlahnya sekitar seratus orang termasuk Uthman dan Ali RA.

Beliau juga berwasiat agar sebahagian daripada hartanya diberikan kepada kesemua isteri Rasulullah SAW sehingga Aisyah RA berdoa; “Semoga Allah memberi minum kepadanya daripada mata air Salsabila di syurga.”

8. Saad bin Abi Waqas:

Datuknya adalah bapa saudara kepada Aminah, ibu Nabi SAW. Beliau memeluk Islam dalam usia 17 tahun atas usaha Abu Bakar As Sidiq. Keislaman telah mendapat tentangan yang hebat daripada ibunya sendiri, namun beliau tetap bersabar di atas ancaman ibunya.

Keistimewaan yang ada pada Saad adalah kemahirannya memanah. Pada perang Uhud, beliau menjadi orang pertama melepaskan panah fi-sabilillah di samping orang pertama terkena panah
Fi-sabilillah.

Rasulullah sendiri bersabda, “Panahlah hai Saad, ibu bapaku menjadi jaminan…”

Berkata Ali RA; “Tidak pernah aku dengar Rasulullah menjadikan ibubapanya sebagai jaminan kecuali bagi Saad.”

Saad merupakan seorang satria berkuda yang mempunyai dua jenis senjata, pertama panahnya dan kedua doannya yang makbul. Ini kesan doa Rasulullah SAW khusus padanya; “Ya Allah, tepatkanlah bidikan panahnya dan kabulkanlah doanya.”

9. Said bin Zaid:

Suami kepada Fatimah Al Khattab dan adik ipar kepada Umar Al Khattab. Beliau Islam sejak kecil dan dididik oleh ayahnya dengan baik. Beliau bersama Thalhah bin Ubaidillah RA pernah diperintahkan untuk menjadi pengintip Rasulullah menyelidiki gerakan kaum musyrikin Quraisy.

Said adalah seorang sahabat yang dermawan dan murah hati. Ramai orang yang lemah dan tidak berdaya berkumpul di rumahnya untuk memperoleh ketenteraman, keamanan serta menghilangkan lapar dahaga. Beliau meninggal dunia di Baqi’ ketika berusia 70 tahun.

10. Abu Ubaidah Bin Jarrah:

Beliau merupakan di antara sahabat yang mula-mula memeluk Islam di mekah atas usaha Abu Bakar. Antara sahabat yang berpeluang mendapat tarbiyah Nabi di rumah Arqam Abi Arqam.

Pernah ikut berhijrah ke Habsyah kali kedua tetapi kembali agar dapat berdampingan dengan Rasulullah. Ikut dalam Perang Badar, perang Uhud dan lain-lainya. Di Badar, beliau terpaksa membunuh bapanya sendiri yang masih kafir sehingga Allah menurunkan ayat ke 22 Surah Al Mujadalah mengenai tindakannya itu.

Dalam perang Uhud, beliaulah yang mencabut besi tajam yang menusuk kedua rahang Rasulullah dengan giginya sehingga beliau sendiri kehilangan gigi.

Rasulullah sangat sayang pada Abu Ubaidah dan menggelarkannya kepercayaan umat. Baginda bersabda:

“Sesungguhnya setiap umat mempunyai orang kepercayaan, dan sesungguhnya kepercayaan umat ini adalah Abu Ubaidah bin Jarrrah.”

Apa itu NIAT?

Niat itu lintasan hati. Oleh kerana terlalu banyaknya perkara yang melintas di dalam hati, niat itu adalah lintasan nekad hati terkawal. Seperti contoh, anak mata kamu tersorot pada seekor beruk, lalu hati kamu berdetik;

'Wah, lawanya' (lintasan luar kawal).

'Nak tengoklah' (lintasan terkawal).

Dengan erti kata lain, kamu nekad menghendakinya dan kehendak itu datang dari diri kamu sendiri. Sedang lintasan hati luar kawal adalah sesuatu yang terdetik secara sendiri. Bukan atas dasar kehendak kamu.

Positifnya niat dapat menjana daya usaha yang berterusan dan gerak kerja cemerlang dalam menggapai matlamat. Sebaliknya, Penyalahgunaan niat akan menjerebakkan pengguna ke arah sia-sia dan pembaziran.

Saidina Umar meriwayatkan hadis Rasulullah SAW:
''Sesungguhnya setiap perbuatan itu dimulakan dengan niat. Dan bagi setiap individu itu menurut apa yang diniatkan. Maka sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan rasulNya, maka hijrahnya adalah bagi Allah dan rasulNya. Maka sesiapa yang hijrahnya kerana dunia atau perempuan yang akan dinikahi, maka hijrahnya untuk apa yang dia kehendaki''.

Sesuatu pekerjaan yang diusahakan dengan niat yang berterusan akan membuahkan hasil seperti yang diniatkan, walaupun tidak seindah yang dibayangkan. Berbeza dengan sesuatu perbuatan yang terlalu sering diperbicarakan. Kerana pengaruhnya kerajaan hati, mampu mengawal selia tindak tanduk anggota badan. Tidak seperti lidah yang tidak bertulang. Akibatnya jadilah seperti pepatah melayu 'cakap tak serupa bikin' atau 'indah khabar dari rupa'.

Niat yang seragam di kalangan ahli anggota sesuatu pasukan mampu merealisasikan objektif, misi, dan visi persatuan. Keseragaman niat juga akan menyelaraskan kerjasama antara ahli jawatankuasa dalam usaha mencapai target.

Namun, istimewanya niat yang didasari kerana Allah, atau untuk mencari keredhaanNya, atau sebagainya, yang kembali kepada Allah, maka individu itu akan berusaha menurut kehendak syara' (Allah dan rasulNya); bertanggungjawab, amanah, menjaga halal haramNya, sentiasa mengawasi tindak tanduknya dan sebagainya.

Maka tidak timbul cerita penyalahgunaan kuasa, gangguan seksual, main-main mata sesama AJK sewaktu mesyuarat dan sebagainya. Kerana seluruh anggota badan telah tunduk kepada fokus lintasan nekad hati, kerana Allah Ta'ala.

Sabda Rasulullah SAW:
''Sesungguhnya, dalam jasad itu ada seketul daging. Jika baik daging itu, maka baiklah seluruh jasad, jika buruk daging itu, maka buruklah seluruh jasad. Sesungguhnya itulah hati.''

Begitu juga jika kamu melakukan sesuatu kerana seseorang, kamu akan melakukannya menurut kehendaknya, kesukaannya, dan berhati-hati dari kebenciannya.

Inputnya, dalam usaha mencapai target, usahakan satu lintasan nekad di dalam hati yang berterusan setiap masa, untuk menjana daya usaha konsisten dan gerak kerja cemerlang ketika menguruskan sesuatu pekerjaan atau sesuatu perkara. Maka sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan rasulNya, maka hijrahnya adalah bagi Allah dan rasulNya. Maka sesiapa yang hijrahnya kerana dunia atau perempuan yang akan dinikahi, maka hijrahnya untuk apa yang dia kehendaki.

Oleh itu perbetulkanlah niat kita sebelum melakukan sesuatu perkara. InsyaAllah, kita akan berada di landasan yang benar.

Wallahu a’lam
Free Hit Counter