Saturday, August 21, 2010

Puasa Yang Diterima Allah?

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,
Orang-orang yang berpuasa nanti akan mempunyai keistimewaan dengan pintu khas untuk masuk ke syurga. Dan kita akan bergembira bukan sahaja ketika berbuka tetapi juga apabila kita bertemu dengan Allah nanti. Inilah kegembiraan yang hakiki. Selain itu orang yang berpuasa juga dijanjikan
kemapunan bagi dosa yang lalu.

Dari Abu Hurairah bahwa Rasulullah (saw) telah bersabda:
“ Barangsiapa yang berpuasa dalam bulan Ramadhan kerana keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, akan diampuni dosa-dosanya yang terdahulu”
(hadis riwayat Ahmad dan Ashabussunan)

Kalau dilihat bentuk hadis ini, ianya seakan sama dengan hadis mengenai keutamaan solat tarawih. Di dalam hadis ini bukan sahaja disebutkan janji keampunan dosa bagi orang yang berpuasa tetapi juga syarat untuk mendapat anugerah ini iaitu berpuasa dengan “imaanan wah tisaaban” yang diterjemahkan sebagai kerana “ iman dan mengharapkan keredhaan Allah”. Puasa kita bukan kerana budaya, bukan kerana adat, bukan kerana manusia, bukan kerana kesihatan, bukan kerana ketiadaan makanan. Tetapi kerana keazaman kita memenuhi tuntutan iman dan benarbenar
mengharapkan keredhaan Allah. Niat dan keazaman yang sedemikian akan menyebabkan kita tekun menjaga syaratsyarat dan adab-adab dalam puasa kita; bagi melayakkan kita mendapat keampunan bagi dosa-dosa kita yang lalu.

Abu Said al-Khudri berkata bahawa Nabi (saw) pernah bersabda:
“Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dan mengetahui batas-batasnya dan ia
menjaga diri dari segala apa yang patut dijaga, dihapuskanlah dosanya yang
sebelumnya.” (hadis riwayat Ahmad dan Baihaqi)

Saudara-saudari yang budiman,
Jelas kepada kita bahawa hanya puasa yang terjaga dari batas-batasnya sahaja yang akan
diterima dan layak untuk menerima keistimewaan yang dijanjikan. Sebab itu Nabi (saw)
memberi kita peringatan, sekiranya kita tidak berhati-hati, kita mungkin terjerumus ke
dalam golongan manusia yang tidak memperolehi apa-apa dari puasa dan solat tarawih
mereka.

Abu Hurairah berkata Nabi (saw) bersabda:
“Berapa banyak orang yang berpuasa, tetapi tiada yang diperolehinya kecuali rasa lapar dan berapa banyak orang bersembahyang malam, tetapi tiada yang ia perolehi selain dari rasa mengantuk” (hadis riwayat an-Nisai dan Ibn Majah)

Yang dimaksudkan oleh Nabi (saw) ialah orang yang berpuasa hanya dengan berlapar tetapi tidak kerana mencari keredhaan Allah serta tidak kisah dalam menjaga adab-adab dan batas-batasnya yang lain. Semoga Allah menjauhi kita dari termasuk ke dalam golongan ini; golongan orang yang berlapar dahaga tetapi tidak memperolehi apa-apa; puasa tidak diterima; dosa tetap tidak berampun.
Semoga Allah swt menerima puasa kita, mengampunkan dosa-dosa kita dan membantu
kita ke arah meningkatkan kualiti puasa kita.
Free Hit Counter