Friday, October 8, 2010

Kita Bertanya Tuan Guru Dato Haron Menjawab (5)?

Bolehkah manusia melihat makhluk halus?

Soalan

Kita percaya wujudnya makhluk seperti yang disebut dalam al-Quran, seperti Jibrail, Jin, Syaitan dan sebagainya. Saya musykil, mereka ini makhluk halus, mereka wujud dan boleh melihat manusia, tetapi manusia tidak boleh melihat mereka. Benarkah dakwaan sesetengah pihak bahawa mereka (manusia) dapat melihat makhluk halus ini dengan mata kepala mereka sendiri. Makhluk itu berupa manusia yang menakutkan atau berupa binatang?

Jawapan

Ayat al-Quran yang saudara maksudkan memang wujud. Dalam Surah al-A'raf ayat 27, Allah mengisahkan (mafhumnya), ".....Bahawa mereka itu (makhluk halus) boleh melihat kamu, sedangkan kamu tidak boleh melihat mereka....."

Kebiasaannya mereka (makhluk halus) dapat melihat kamu manusia, sedangkan manusia tidak boleh melihat mereka dalam keadaan rupa mereka yang asal.
Namun apabila makhluk ini telah menyerupai rupa-rupa yang Allah izinkan, maka mereka boleh menyerupai makhluk tertentu, dan ketika itu manusia boleh melihat mereka.

Bukti jelas dalam al-Quran yang mengisahkan bahawa mereka (makhluk halus) boleh menyerupai manusia. Disebut dalam Surah al-Anfaal ayat 48 (mafhumnya), "Dan ketika syaitan menjadikan manusia memandang elok dan baik pekerjaan mereka, dan mengatakan tidak ada seorang manusia pun yang dapat mengalahkan kamu pada hari ini (perang Badar) dan sesungguhnya aku pelindung kamu sekelian. Tatkala kedua pasukan telah berhadap-hadapan untuk berperang, (syaitan) dia cabut lari seraya berkata 'sesungguhnya kami berlepas diri daripada kalian, sesungguhnya kami dapat melihat apa yang kalian tidak dapat lihat'. Sesungguhnya kami sangat takut kepada Allah dan Allah amat dahsyat seksaan-Nya."

Tafsir al-Qurtubi sebagai contoh, Musyirikin dalam perang Badar yang gentar untuk memerangi tentera Islam, tiba-tiba muncul di hadapan mereka, satu pasukan peperangan yang diketuai oleh Suraqah bin Malik bin Ju'ashum. Suraqah memang dikenali, beliau dari suku Bani Bakr. Beliau dengan tenteranya amat ditakuti oleh Quraisy kerana latar belakang permusuhan mereka dengan Bani Bakr ini.

Bila Suraqah menjanjikan untuk membantu mereka mengalahkan tentera Islam, maka tentera kuffar menjadi lebih berani. Peperangan bermula, tetapi Suraqah dan kuncu-kuncunya cabut lari. Akhirnya kuffar ditewaskan oleh tentera Islam.

Sahih daripada ayat ini ditafsikan dengan muktabar bahawa, yang berkata-kata dengan tentera kuffar adalah syaitan yang menyerupai manusia secara khusus seperti Suraqah bin Malik.

Dalam Surah al-Anfaal ayat 30 (mafhumnya), "Dan (ingatlah) ketika orang-orang kafir mengaturkan satu tipu helah jahat untuk mencelakakan engkau (Muhammad), menangkap ,atau membunuh kamu atau mengusir kamu. Mereka membuat perencanaan dan Allah membuat rencana pula, tetapi Allah Perencana yang terbaik."

Tafsir Annasafi juzuk 9 halaman 199, mencatatkan peristiwa kuffar mengadakan satu pertemuan di Darun Nadwah untuk memutuskan perihal Muhammad, ketika pembesar Quraisy hendak bermesyuarat, mereka ditemui oleh seorang pemimpin daripada puak Najdi, atau Syaikhu Najdi datang khusus untuk menyertai mereka memberi pandangan, Quraisy Makkah membenarkan Syaikhu Najdi turut sama dalam mesyuarat mereka yang berakhir dengan keputusan untuk membunuh Nabi Muhammad.

Syaikhu Najdi ini sebenarnya adalah Iblis laknatullah yang menyamar.

Rasulullah s.a.w sendiri pernah pergi berdakwah di kalangan makhluk jin. Sahabat seperi Abu Hurairah r.a pernah menangkap syaitan yang menganggu dan mencuri barang makanan yang dijaga dalam simpanan Baitul Mal. Ammar bin Yasir pernah berhadapan dan bertarung dengan makhluk halus ini.

Semua ini membuktikan bahawa makhluk halus memang boleh menyerupai berbagai rupa. Tetapi mereka tidak mudah sesukahati hendak berupa sedemikian disebabkan ia boleh menimbulkan ketidaktenteraman di kalangan manusia, kerana Allah mengawal manusia dengan rahmat-Nya.

Sunday, October 3, 2010

Jagalah Akidah Muslimin&Muslimat.

Antara kerosakan akidah dalam masyarakat islam umumnya:-

- Nak kerja kerajaan kerana pendapatan terjamin.
- Penyakit sembuh kerana ubat ini.
- Nama anak panjang sangat, dia berat bawa nama tu, sebab tu sakit saja, kena
bagi gelaran pendek baru dia sihat selalu.
- Masa kenduri kahwin kena pastikan ada pinggan pecah walaupun satu, kalau tak,
pengantin yang akan pecah bercerai.
- Kedai makan ini tak laku sebab tak gantung ayat seribu dinar.
- Jika parti yang itu menang, negara akan jatuh miskin
- Meh bergambar dengan pengantin atas pelamin supaya dapat berkat cepat kamu kawin
nanti.
- Anak kamu masuk sekolah hafiz ye? Besar nanti dia nak makan ape?
- jahat tak apa, janji hati mau baik
- kalaulah ........ tentulah .......... (bagi perkara yang telah berlalu)
- Budak tu memang bawa BALA,ada je yang tak kena...
- jgn amik gambar bertiga, tak elok...penah dgr?
- jgn minum air dgn penutup bekas air...penah dgr?
- kucing hitam melintas atas mayat, nnt mayat bangun...penah dgr?
- jgn makan berulang air, nnt hati benak...penah dgr?

Wallahhuálam.

Sunday, September 26, 2010

Kita Bertanya Tuan Guru Dato Haron Menjawab (5)?

Bolehkah makhluk halus mendatangkan kesengsaraan kepada manusia seperti penyakit dan sebagainya?

Soalan

Bolehkah makhluk-makhluk halus mendatangkan kesengsaraan kepada manusia seperti penyakit dan sebagainya?

Jawapan

Persoalan ini memerlukan kepada kesedaran asas bahawa alam ini tidak hanya didiami oleh manusia atau makhluk-makhluk zahir sahaja, malah Allah menjadikan alam ini sebagai tempat tinggal makhluk yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Yang nyata dalam Islam, kita disuruh melindungkan diri daripada syaitan sebagaimana doa yang selalu dibawa iaitu a'uzubillahi minnas syaitan nir rajim atau saya mohon perlindungan daripada Allah S.W.T daripada syaitan yang direjam.

Bagiamana mungkin Allah S.W.T meminta manusia memohon perlindungan dengan-Nya daripada sesuatu yang buruk berlaku.

Hatta, sering berlaku dalam mana-mana masyarakat di dunia ini berlaku gangguan ke atas manusia yang tidak diketahui puncanya, atau diketahui puncanya.

Untuk menjawab soalan ini, al-Quran sebagai contohnya, Surah as-Saad, ayat 41 (mahfumnya) "Dan ingatlah ketika hamba kami Nabi Ayub menyeru tuhannya mengadu sesungguhnya Allah, saya sedang disakiti oleh syaitan dengan berbagai-bagai dan azab sengsara."

Kisah Nabi Ayub yang telah menghadapi penyakit fizikal agak dahsyat ketika itu, berpunca daripada sentuhan atau penangan syaitan.

Dalam Surah al-Baqarah, ayat 102, ayat ini mengkisahkan tentang ilmu sihir yang diajarkan oleh syaitan kepada manusia. Di antara lain disebut, manusia mempelajari ilmu sihir daripada syaitan itu yang akan memudaratkan dan tidak memberi manfaat kepada mereka.

Dalam hadis sebagai contoh, Rasulullah s.a.w, dalam satu doanya, baginda menyebut suatu perkataan "memohon perlindungan dengan Allah daripada gangguan syaitan yang boleh menyebabkan kesakitan."

Dalam al-Quranul Karim ada beberapa istilah dengan jelas disebut bahawa makhluk ini boleh menyakiti manusia dengan berbagai perlakuan sehingga menyebabkan manusia menderita dengan sakit teruk.

Antara lain dalam Surah al-Fussilat, ayat 36 (yang mafhumnya) "Dan jika syaitan menganggu kamu dengan satu gangguan maka pohonlah perlindungan dari Allah, maka sesungguhnya Dia lah yang Maha Pendengar lagi Maha Mengetahui."

Dalam ayat itu disebutkan "mengganggu atau menyakiti kamu dengan sebarang gangguan atau kesakitan."

Istilah 'nazghun' dalam ayat tersebut diterjemahkan oleh kamus dengan maknanya ditikam dengan tangan, ditumbuk atau ditendang. Tafsir al-Maraghi dan Tafsir al-Qurtubi, menjelaskan maknanya sebagai menendang, merasuk atau mencederakan seseorang.

Dalam Surah al Baqarah, ayat 275 (mafhumnya) "Mereka tidak berdaya bangun seperti bangunnya orang yang dicederakan oleh syaitan daripada penangannya."

Istilah dalam ayat ini disebut 'yatahabbatuhu', ditafsirkan dengan makna mencekik, menyakiti hingga meraung kesakitan.

Dalam hadis sahih yang menyebut fenomena 'assar'u' maknanya syaitan menjadi penyebab berlakunya kecederaan kepada manusia seperti kesakitan, hilang akal, kebisingan yang melampau dan sebagainya.

Hadis yang diriwayatkan oleh A'ta bin Abi Ribah menceritakan perihal seorang perempuan datang menemui Rasulullah s.a.w dengan mengadu kesakitan dan kesengsaraan angkara syaitan.

Hadis Ya'li bin Murrah menceritakan tentang seorang budak lelaki mengalami penyakit 'lamam' (seperti gila) kerana gangguan syaitan.

Hadis Othman bin Abi al-Ass, mengadu kepada Rasulullah tentang kesakitan yang menimpanya menyebabkan dia tidak dapat bertugas. Rasulullah memberitahu bahawa itu adalah angkara syaitan.

Banyak lagi hadis-hadis sahih yang menunjukkan hal-hal sedemikian benar-benar berlaku.

Pada saya memang pada pandangan syariat bahawa makhluk halus ini dengan izin Allah juga boleh melakukan perkara-perkara yang mendatangkan penyakit kepada anak Adam.

Saturday, September 18, 2010

Insya Allah 20 Amalan Murah Rezeki..

Amalan-amalan ini menjadi sebab Allah (SWT)limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya. Berdasarkan konsep rezeki yang telah diperkatakan, Allah (SWT)memberi jalan buat setiap hamba-Nya untuk memperolehi rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi punca kebaikan dunia dan akhirat. Di antaranya:

1. Menyempatkan diri beribadah
Allah (SWT)tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi:
"Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu." (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)

2. Memperbanyak istighfar
Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah (SWT), yang menjadi sebab Allah (SWT)jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Sabda Nabi s.a.w.:
"Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah (SWT)s.w.t akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka." (Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa'i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.)

3. Tinggalkan perbuatan dosa
Istighfar tidak laku di sisi Allah (SWT)jika masih buat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi s.a.w.:

"… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya." (Riwayat at-Tirmizi)

4. Sentiasa ingat Allah (SWT)
Banyak ingat Allah (SWT)buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah (SWT)beri kepada orang beriman. Firman-Nya:
"(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah (SWT). Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah (SWT)hati menjadi tenteram." (Ar-Ra'd: 28)

5. Berbakti dan mendoakan ibu bapa
Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Baginda s.a.w. juga bersabda:
"Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah (SWT)akan memanjangkan umurnya." (Riwayat Abu Ya'ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)
Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi s.a.w.:
"Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah (SWT)) daripadanya." (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)

6. Berbuat baik dan menolong orang yang lemah
Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi s.a.w.:
"Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu." (Riwayat Bukhari)

7. Tunaikan hajat orang lain
Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah (SWT)lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi s.a.w.:
"Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah (SWT)akan menunaikan hajatnya…" (Riwayat Muslim)

8. Banyak berselawat
Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat. Wallahu a'lam.

9. Buat kebajikan banyak-banyak
Ibnu Abbas berkata:
"Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya."

10. Berpagi-pagi
Menurut Rasulullah s.a.w., berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.

11. Menjalin silaturrahim
Nabi s.a.w. bersabda:
"Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya." (Riwayat Bukhari)

12. Melazimi kekal berwuduk
Seorang Arab desa menemui Rasulullah s.a.w. dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah (SWT). Baginda s.a.w. bersabda:

"Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah (SWT)akan memurahkan rezeki." (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)

13. Bersedekah
Sedekah mengundang rahmat Allah (SWT)dan menjadi sebab Allah (SWT)buka pintu rezeki. Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam:
"Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah (SWT)azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah (SWT)membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah (SWT)menyedikitkan baginya." (Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.)

14. Melazimi solat malam (tahajud)
Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah (SWT).

15. Melazimi solat Dhuha
Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah (SWT)dalam hadis qudsi:
"Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya." (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)

16. Bersyukur kepada Allah (SWT)
Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah (SWT). Lawannya adalah kufur nikmat. Allah (SWT)berfirman:
"Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras." (Ibrahim: 7) Firman-Nya lagi: "… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur." (Ali Imran: 145)

17. Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu
Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma'ul husna selain menenangkan, menjenihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.
Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah (SWT)lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki.
Salah satu nama Allah (SWT), al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca "Ya Allah (SWT)ya Fattah" berulang-ulang, diiringi doa: "Ya Allah (SWT), bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya 'Alim." Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi'ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a'lam.

18. Berdoa
Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah (SWT), penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah (SWT)suruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.

19. Berikhtiar sehabisnya
Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah (SWT)berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah (SWT)beri kepada orang yang dicintai-Nya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim)
Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak tenang dibacanya Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak anak dalam rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang baik dan halal, hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi baik, hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.

20. Bertawakal
Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah (SWT). Firman-Nya:

"Barang siapa bertawakal kepada Allah (SWT), nescaya Allah (SWT)mencukupkan (keperluannya) ." (At-Thalaq: 3)
Nabi s.a.w. bersabda:
"Seandainya kamu bertawakal kepada Allah (SWT)dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang." (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab r.a.)
Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah (SWT)akan beri "jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan) , dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya." (At-Talaq: 2-3)
Pendek kata, bagi orang Islam, untuk murah rezeki dalam ertikata yang sebenarnya, kuncinya adalah buat amalan-amalan takwa. Amalan-amalan ini menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah (SWT), lalu Allah (SWT)limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.

Tuesday, September 14, 2010

Minta Maaf Bukan Di Hari Raya Saja

Islam amat menuntut umatnya sentiasa mudah meminta maaf dan mudah memberi kemaafan sesama saudaranya. Firman ALLAH:

“Dan orang yang berhati sabar dan suka memaafkan, sesungguhnya hal yang demikian itu adalah termasuk pekerjaan yang dilakukan dengan keteguhan hati.” (As Syura: 43)

Di pagi Syawal, isteri dituntut supaya memohon maaf dengan suami. Tapi ramai di kalangan para isteri yang segan untuk memohon ampun dengan suaminya. Inilah penyakit wanita hari ini; tengking suami tidak malu, tetapi untuk meminta maaf kepada suami, malu dan kekok sekali.

Kenapa mesti malu melakukan kerja yang mulia? Malu itu ada baik dan buruknya. Malu dalam melakukan perkara maksiat dan syubahat adalah sangat dipuji tetapi malu melakukan ketaatan kepada ALLAH sangat dikeji.

Merendahkan diri kepada suami merupakan suatu ketaatan terhadap hukum ALLAH. Kadang-kala sampai sepuluh kali mundar-mandir di bilik, di dalam hati tertanya-tanya: “Nak salam ke tidak?” Akhirnya dengan hati yang berat, pergi juga mengadap suami.

Bercucuranlah air mata kesayuan, “Bang, Yah minta maaf di atas segala kesalahan. Yah janji tak buat lagi.” Itulah janji si isteri.

Bersyukurlah jika ada isteri yang mahu meminta maaf biarpun setahun sekali. Amat malang sekali kalau seumur hidup tidak pernah berbuat langsung, tambahan pula kalau sudah tua. Mereka sedar diri mereka banyak dosa dengan suami tetapi apabila ego menguasai diri maka setiap kebenaran dipandang remeh dan dianggap bole ditangguh-tangguh. Sedangkan kalau seorang isteri itu mati tanpa keredhaan suami, Nerakalah tempatnya.

Meminta maaf dengan suami bukan di Hari Raya sahaja. Kita digalakkan memohon maaf ketika suami hendak keluar rumah, semasa sembahyang berjemaah dengannya atau semasa hendak tidur. Sekali kita memohon maaf dengannya maka bergugurlah dosa-dosa kita dan senantiasa di dalam keampunan Illahi.

Sayidatina Fatimah Az-Zahra pernah secara tak sengaja mengecilkan hati Sayidina Ali k.w. Untuk memohon maaf kepada suaminya sampai 70 kali hingga tersenyum Sayidina Ali menyaksikan kelucuan Fatimah masih belum puas hati lalu keesokan harinya beliau menceritakan kepada Rasulullah S.A.W hal itu.

Rasulullah memberitahu puterinya, seandainya Sayidina Ali tidak memaafkannya dan ditaqdirkan Siti Fatimah wafat ketika itu, nescaya baginda tidak akan memandikan jenazahnya. Begitulah tegasnya Rasulullah S.A.W dalam menegakkan hukum ALLAH. Suami mempunyai kuasa mutlak dalam rumahtangga sedangkan Rasulullah S.A.W hanya berhak memberi panduan dan nasihat sahaja.

Siti Aisyah r.ha pernah mencemburui Siti Khadijah r.ha walaupun ia telah lama wafat kerana Rasulullah S.A.W sering memuji keperibadiannya di hadapan Siti Aisyah. Tersentuh hati baginda apabila Siti Aisyah menggelarkan Siti Khadijah dengan panggilan yang tidak selayaknya. Tertitis air mata Rasulullah mengenangkan jasa-jasa Siti Khadijah yang telalu besar di atas pengorbanan jiwa, harta dan kasih sayangnya di saat orang lain memulaukan baginda. Baginda dikurniakan zuriat dengan Siti Khadijah. Akhirnya Siti Aisyah terdiam dan tidak pernah mengulangi kata-kata itu lagi.

Memanglah kita tidak boleh menandingi kesemua isteri Rasulullah S.A.W tetapi cukuplah kita mengambil pengajaran dan berusaha untuk memperbaiki diri ke arah itu.

Kalau tidak biasa memohon maaf kepada suami, memanglah dirasakan terlalu kekok dan perit untuk melakukannya. Sepatutnya kita lebih bimbang dengan kemurkaan ALLAH kalau kesalahan kita kepada suami tidak dimaafkan dan kita tidak diredhai oleh suami. Bukankah keredhaan suami itu bermakna keredhaan ALLAH jua?

Oleh itu kita tiada pilihan lain melainkan memiliki iman. Hanya orang yang beriman sahaja yang sanggup tunduk di atas segala perintah dan tegahan Illahi. Hanya wanita-wanita yang beriman sahaja yang senantiasa berdoa semoga ditunjuki jalan yang lurus sepertimana permohonan kita setiap kali mendirikan sembahyang:

“Ya ALLAH, tunjuki kami jalan yang lurus. Jalan mereka yang Engkau beri nikmat. Bukan jalan mereka yang Engkau murkai. Tidak juga jalan mereka yang sesat.”

Semoga dengan taufiq dan hidayah-Nya, dengan umur yang masih ada, diizinkan dapat kita gunakan sepenuhnya untuk berbakti kepada-Nya dan mentaati suami. Senantiasa bersikap rendah diri dengan suami dan selalu merasakan diri bersalah.

Jangan lengah meminta maaf, jadikan ia sebagai amalan harian kita. Meminta maaf bukan semestinya di Hari Raya sahaja kerana kita tidak tahu apakah ALLAH masih panjangkan umur kita untuk dapat berada di Hari Raya yang akan datang.

Wednesday, September 8, 2010

Cara Nabi SAW Berhari Raya.

1. Bermula pada malam hari raya lagi iaitu setelah terbenam matahari (Waktu maghrib) disunatkan bertakbir dan berulang-ulang mengucapkan takbir.

2. Pada pagi hari raya, minum atau makan pagi dahulu.

Diriwayatkan oleh Bukhari dari Anas Ibnu Malik berkata :"Rasulullah saw tidak akan keluar pada pagi Aidilfitri sehingga dia memakan beberapa tamar dan dia akan makan bilangan ganjil".

3. Mandi sunat hari raya.

4. Berangkat menuju ke masjid atau tanah lapang. Sebaik-baiknya berjalan kaki.

Dilaporkan oleh Sa'id Ibnu Jubair, berkata :"3 perkara yang menjadi sunnah pada hari Aidilfitri: berjalan kaki (ke tempat solat), mandi dan makan sebelum keluar.

5. Memakai pakaian terbaik yang ada berdasarkan kemampuan.

Dari Jabir r.a. berkata :"Nabi saw, mempunyai Jubbah yang beliau akan memakainya pada hari Aidilfitri dan hari Jumaat".

6. Bertegur sapa. Ucap selamat dan mendoakan antara satu sama lain. (Sebab itulah digalakkan berjalan kaki dan pilihlah tempat solat yang terdekat.)

7. Sesampainya di masjid, maka sebelum duduk, solat dahulu tahiyyatul masjid dua rakaat. Kalau di tanah lapang tidak ada tahiyyatul masjid, hanya duduklah menuggu dimulakan solat hari raya.

8. Sementara menuggu dimulakan solat hari raya, maka perbanyakkanlah takbir iaitu;

الله أكبر ( 3 كالى ) لا إله إلا الله والله أكبر الله اكبر ولله الحمد.

Allaahu akbar ( 3 kali ) Laa ilaaha illa llaahu wallaahu akbar. Allaahu akbar walillaahil hamd.

9. Setelah diulang takbir tersebut beberapa kali maka dibaca pula takbir berikut;

الله أكبر ( 3 كالى ) الله أكبر كبيرا والحمد لله كثيرا وسبحان الله بكرة وأصيلا. لا إله إلا الله ولا نعبد إلا إياه مخلصين له الدين ولو كره المشركون. لا إله إلا الله وحده صدق وعده ونصر عبده وأعز جنده وهزم الأحزاب وحده. لا إله إلا الله والله أكبر الله اكبر ولله الحمد.

Allaahu akbar ( 3 kali ) Allahu akbaru kabiiran walhamdu lillaah kathiiran wasubhaana llaahi bukratan wa-asiila. Laa ilaaha illa llaahu walaa na`budu illa iyyaahu mukhlisiina lahu ddiina walau karihal mushrikuun. Laa ilaaha illa llaahu wahdah, sodaqa wa`dah, wanasoro `abdah, wa-a-`azza jundahuu wahazamal ahzaaba wahdah. Laa ilaaha illa llaahu wallaahu akbar. Allaahu akbar walillaahil hamd.

10. Setelah itu dimulakan pula dengan takbir yang mula-mula tadi beberapa kali dan disambung dengan takbir yang berikutnya sehingga sampainya waktu untuk bersolat.

11. Setelah selesai solat, menukar jalan balik supaya tidak sama jalan pergi dan balik. (Tujuannya supaya dapat bertemu dengan lebih ramai orang dan dapat bertegur sapa dengan orang yang berlainan)

Dari Jabir r.a. meriwayatkan bahawa Nabi saw menukar jalannya pada hari Aidilfitri tatkala pergi dan balik dari tempat solat hari raya, Rasulullah sentiasa pergi dan balik melalui jalan yang berlainan, menurut Jabir r.a. (Hadis riwayat Bukhari)

12. Perkataan yang baik untuk ucapan. Mana-mana perkataan yang baik boleh diucapkan. Tapi kalau nak tahu perkataan apakah yang pernah diucapkan oleh nabi dan para sahabat pada hari raya aidilfitri, iaitu; تقبل الله منا ومنكم
Taqabbalallohu minna wa
minkum,"Semoga Allah SWT menerima amal kami dan amal Anda.”

Itulah antara cara-cara menyambut hari raya menurut Islam.

Tuesday, September 7, 2010

8 Pekara Dibulan ramadhan.

1.Dibelenggu para syaitan dan jin.

Menurut Imam As-Syafie hanya jin dan syaitan yang bengis sahaja dibelenggu, manakala yang lain masih bebas lalu kerana itu masih terdapat yang membuat maksiat di bulan ini.

“Apabila tiba awal malam dalam bulan Ramadhan, diikat semua syaitan dan jin-jin yang derhaka,….(Riwayat at-Tirmizi dan Ibn Majah)

Menurut Imam Abu Hanifah pula, semua jin dan syaitan dibelenggu. Namun masih ada orang melakukan kejahatan kerana syaitan telah menggunakan 11 bulan untuk menerapkan nilai-nilai buruk dalam diri kita. Kebiasaan buruk ini mampu mendorong seseorang kearah kejahatan walau di ketika Syaitan di belenggu.Jadi dalam 1 bulan inilah kita harus ambil peluang utuk menyucikan segalanya.

Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda; “Apabila masuk bulan Ramadhan terbukalah pintu-pintu syurga dan terkuncilah segala pintu neraka manakala sekelian syaitan dirantai dan dibuka segala pintu rahmat.”(Bukhari & Muslim)

2. Amalan sunat diberi pahala fardhu dan fardhu diganda 70 kali.

“ Menunaikan yang sunat diberi balasan pahala fardu dan amal fardu diberi balasan 70 kali ganda. Sebagai contoh solat Jumaat, sekiranya ada 5 kali Jumaat pada bulan itu, maka 5 x 70 = 350 Jumaat di luar Ramadhan, bersamaan 7 tahun solat jumaat. Pahala solat Jumaat sama dengan pahala haji bagi orang miskin yang tidak mampu mengerjakan haji. Solat Jumaat pada minggu akhir Ramadhan adalah solat Jumaat yang istimewa. Qadha solat fardhu juga diberi 70 kali ganda pahala. Sedekah RM1 dalam bulan Ramadhan adalah sama dengan RM70 di luar Ramadhan.

“Daripada Salman r.a. ia berkata: Telah berkhutbah Rasulullah S.A.W. pada hari terakhir bulan Syaaban dan sabdanya:- Wahai manusia sesungguhnya telah datang kepada kamu satu bulan yang agung lagi penuh keberkatan (bulan Ramadhan) iaitu bulan yang ada padanya satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, bulan yang Allah jadikan berpuasa padanya suatu kewajipan dan berqiamullail (beribadat pada malam-malamnya) sebagai amalan sunat. Sesiapa yang mendekatkan dirinya kepada Allah pada bulan itu dengan melakukan amalan kebajikan (amalan sunat) maka ia mendapat pahala seperti melaksanakan perintah yang wajib dan sesiapa yang melakukan suatu amalan yang wajib pada bulan Ramadhan maka ia mendapat pahala seperti orang yang melakukan tujuh puluh (70) amalan fardhu.”.

Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi Muhammad s.a.w., sabdanya: “Apabila bermula malam yang pertama dari bulan Ramadhan .. menyerulah malaikat, katanya: “Wahai orang-orang yang mahukan kebaikan! Tampillah mengerjakannya dan wahai orang-orang yang hendak melakukan kejahatan! Berhentilah dari meneruskannya; (ketahuilah), Allah Taala banyak membebaskan orang-orang yang dijanjikan dengan neraka – daripada memasukinya”. Seruan dan keampunan yang demikian, diberikan pada tiap-tiap malam (dalam bulan Ramadhan).” (Riwayat Tirmizi dan Nasa’i)

3. Pintu neraka ditutup.

Pada bulan Ramadhan, kepanasannya tidak sampai ke alam barzakh (alam perantaran). Seksaan dihentikan pada bulan ini. Sesiapa yang mati dibulan Ramadhan tidak diseksa dan disoal oleh Malaikat Mungkar dan Nakir. Ada yang berpendapat ia ditangguh sehingga lepas Ramadhan.

4. Dibuka semua pintu syurga.

Dari Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Apabila datang bulan Ramadhan, terbukalah pintu-pintu syurga”.(Hadith Sahih – Riwayat Bukhari). Banyak rahmat diturunkan pada bulan ini. Orang mukmin ditambah rezekinya seperti makanan yang sedap-sedap semuanya ada di bulan ini. Orang-orang miskin juga dapat menikmatinya pada bulan ini.

5. Allah perhiaskan syurga.

Allah percantikkan syurga yang sememangnya cantik. Bagaimana? Tidak terfikir oleh akal manusia. Bidadari berpantun minta disegerakan bertemu bakal suaminya di syurga.

Bahawa syurga berlenggang-lenggang ia dan berhias dari setahun ke setahun kerana masuknya bulan Ramadhan . Pada awal bulan Ramadhan bertiup angina di bawah Arasy dan bergeraklah daun kayu dengan longlai di bawah syurga, terdengarlah desiran daun kayu, hembusan bayu syurga yang teramat indahnya, seni rentak lagunya menawan seluruh perasaan nurani. Maka berhiaslah bidadari sekaliannya hingga berdirilah di atas puncak mercu syurga itu, lantas bersuaralah bidadari : Adakah orang yang hendak meminang kami kepada Allah ? Lalu bidadari lain pula bertanya : Apakah nama malam ini ? Jawab Malik Ridhwan , hai bidadari yang cantik manis, inilah malam Ramadhan .

6. Dilepaskan tahanan neraka

Dalam bulan Ramadahan (di akhirat juga masih ada bulan Ramadhan) Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam bersabda (yang ertinya): “Allah memiliki hamba-hamba yang dibebaskan dari neraka setiap siang dan malam bulan Ramadhan, dan semua orang muslim yang berdo’a akan dikabulkan do’anya.”

7.Ramadhan ialah tetamu yang mendatangkan keampunan Allah

Dalam sebuah hadis, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: Telah datang kepadamu Ramadan, penghulu segala bulan. Maka selamat datanglah kepadanya, telah datang kepadanya bulan puasa yang membawa segala rupa keberkatan, maka alangkah mulianya tetamu yang datang itu.” Layanlah tetamu mengikut apa yang dia suka, misalnya jika dia suka makan ikan, hidangkanlah masakan ikan. Sepertimana orang yang melayan tetamu dengan baik, seluruh ahli rumah itu akan diberi keampunan setelah tetamu itu pulang, begitu juga Ramadhan, jika kita mengikut kehendak dan disiplin yang ditetapkan pada bulan itu, maka kita juga akan mendapat keampunan.

Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi Muhammad s.a.w. sabdanya: “Sesiapa yang mengerjakan puasa bulan Ramadhan dengan keadaan beriman dan mengharapkan rahmat Allah Taala, nescaya diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu“. (Hadith Sahih – Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan beramal dengannya dan perbuatan liar yang lazimnya dilakukan oleh orang-orang jahil, maka tiada bagi Allah sesuatu hajat tentang ia meninggalkan makanannya dan minumannya”.(Hadith Sahih – Riwayat Bukhari dan Abu Daud)“

8. Tawaran Pengampunan dosa lepas dan akan datang (2 tahun)

Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi Muhammad s.a.w. sabdanya: “Sesiapa yang mengerjakan puasa bulan Ramadhan dengan keadaan beriman dan mengharapkan rahmat Allah Taala, nescaya diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu“. (Hadith Sahih – Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a berkata: “Adalah Rasulullah SAW menggalakkan qiyamullail (solat malam) di bulan Ramadhan tanpa memerintahkan secara wajib, baginda bersabda: “Sesiapa yang solat malam di bulan Ramadhan kerana beriman dan mengharapkan pahala daripada Allah, maka diampuni baginya dosa yang telah lalu.”

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Ar-Rasul SAW telah bersabda: Sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan keikhlasan akan diampunkan dosanya yang telah lalu dan dosanya yang akan datang, sesiapa yang menghidupkan qiyamullail dengan penuh keimanan dan keikhlasan akan diampunkan dosanya yang telah lalu dan yang akan datang.

Rasulullah bersabda “Rugilah puasa orang yang tidak mendapat keampunan”.
.
Free Hit Counter