Sunday, January 16, 2011

Sepuluh macam kekejaman

Sufyan Atsauri berkata: “Sepuluh macam daripada kekejaman ialah:

1. Seorang yang berdoa untuk dirinya sendiri, dan tidak mendoakan untuk anak-anaknya dan kaum mukmin.
2. Seorang yang pandai membaca Al-Quran, tetapi tiap harinya tidak membaca seratus ayat.
3. Seorang yang masuk masjid lalu keluar dan tidak sembahyang dua rakaat.
4. Seorang yang berjalan melalui kuburan kemudian tidak memberi salam dan mendoakan ahli kubur.
5. Seorang yang sampai di suatu kota pada hari Jumaat kemudian tidak sembahyang jemaah.
6. Seorang yang di daerahnya didatangi oleh seorang alim, tiba-tiba tidak mahu belajar apa-apa daripadanya.
7. Dua orang yang bertemu di perjalanan dan masing-masing tidak menanyakan nama kawannya itu.
8. Seorang diundang pada jamuan tiba-tiba tidak datang.
9. Pemuda yang tidak ada kerja dan tidak mahu belajar ilmu dan kesopanan.
10. Seorang yang kenyang sedang dia tahu bahawa tetangganya lapar, tetapi tidak diberi dari makanannya itu.

Wednesday, January 12, 2011

Kita Bertanya Tuan Guru Dato Haron Menjawab (7)?

Adakah orang bunian benar-benar wujud? Adakah mereka termasuk dalam kategori manusia atau golongan makhluk halus?

Soalan

Soalan saya adakah orang bunian ini wujud? Adakah mereka termasuk dalam kategori manusia kerana disebut orang atau ianya termasuk dalam golongan makhluk halus?

Jawapan

Memang pernah saya menyebut dan mengulas tentang mahkluk halus, tetapi saya tidak menyebut secara mendalam mengenai orang bunian. Oleh kerana saudara berminat, maka saya cuba menjelaskannya.

Makhluk halus yang dikenali dengan jin, syaitan, iblis, ifrit dan sebagainya jelas terpapar dalam al-Quran dan hadis sahih yang boleh dirujuk dalam jawapan terdahulu.

Adapun istilah orang bunian ataupun bunian sahaja, dalam masyarakat Melayu pernah difilemkan oleh allahayarham P. Ramlee yang menceritakan perihal masyarakat makhluk bunian.

Pada saya, makhluk ini wujud, ia tergolong dalam makhluk halus. Ianya dikaitkan dengan suatu perkampungan atau penempatan yang mereka berumahtangga, beranak pinak dan bermasyarakat.

Ada yang mendakwa melihat bunian dan ada juga dakwaan manusia berkomunikasi dengan bunian sehingga boleh berjiran tetangga termasuk meminjam barang-barang harian. Betul atau tidak cerita itu saya pulangkan kepada Allah S.W.T lebih mengetahui.

Saya yakin bunian tergolong dalam makhluk halus kerana hadis Nabi s.a.w menyebut bahawa ada makhluk halus ini yang suka tinggal bersama manusia dalam rumah manusia, malah mereka suka mencari tempat yang tidak berjauhan dari perkampungan manusia.

Golongan bunian ini disebut Rasulullah sebagai 'aamir atau ummar' yang tinggal berhampiran dengan manusia.

Dalam suatu kisah yang diriwayatkan, kejadian berlaku di zaman Rasulullah s.a.w, ada seorang sahabat yang bernama Khurafah tiba-tiba hilang daripada masyarakat. Lalu keluarganya bertemu dengan Nabi s.a.w menceritakan kehilangan Khurafah.

Tidak berapa lama kemudian Khurafah muncul semula dan menceritakan pengalamannya. Dia telah membunuh seekor ular hitam, tiba-tiba beliau tidak sedar diri dan apabila sedar dia berada dalam masyarakat seperti manusia, tetapi penuh dengan keganjilan.

Ringkasnya dia dituduh membunuh salah seorang daripada orang penting dalam masyarakat itu. Mereka menuntut supaya dia dibunuh balas. Dibicarakan dalam mahkamah yang telus, mempunyai sistem keadilan yang hampir sama dengan manusia, dengan menggunakan peguambela dan sebagainya. Khurafah dibela oleh seorang peguam dan mengemukakan hujah dengan berkata, "Khurafah tidak boleh dipersalahkan kerana dia membunuh satu anggota daripada masyarakat kita (bunian) yang menyerupai ular, sedangkan ular adalah musuh utama kepada manusia. Maka Khurafah membunuh ular, bukan berniat membunuh orang kita, tetapi membunuh musuh di alamnya."

Maka dengan itu Khurafah dibebaskan dan dihantar balik ke alamnya.

Apabila dikisahkan hal ini kepada Nabi s.a.w, maka ramai sahabat mempertikaikannya. Maka Nabi s.a.w menyebut (maksudnya), "Dengarlah cerita Khurafah, ianya ganjil tapi betul."

Bagaimanapun dalam masyarakat kita, apabila dirujuk tentang cerita-cerita ganjil dan tidak masuk akal, kita menggelarnya khurafat. Tetapi asalnya adalah cerita benar orang yang bernama Khurafah.

Saya sebut kisah ini kerana saya lihat seolah-olahnya yang berlaku ini, mungkin boleh disamakan dengan masyarakat bunian. Ertinya mereka boleh melakukan sama seperti manusia seperti dalam kisah Khurafah tersebut.

Masyarakat bunian adalah satu daripada kelompok yang banyak dari masyarakat jin atau syaitan. Daripada cerita-cerita rakyat yang menyentuh soal orang bunian, menjadi suatu lagenda masyarakat Melayu sehingga kini, bunia dikaitkan dengan masyarakat beragama yang mempunyai masjid, surau dan bunyi azan, termasuk orang mengaji al-Quran dan sebagainya. Orang Melayu lebih percaya ianya dikaitkan dengan jin Islam.

Sememangnya Islam mengakui adanya jin Islam sebagaimana yang disebut dalam Suratul Jin. Dalam surah itu menyebut bahawa jin mengakui telah mendengar al-Quran yang penuh dengan keajaiban, menunjuk ke jalan yang lurus, maka kami beriman (kata jin). Jin juga mengaku di kalangan mereka ada yang Islam dan ada yang kafir.

Oleh itu memang ada kemungkinan, masyarakat bunian ini jika betul seperti yang didakwa merupakan sebuah masyarakat beragama.

Dalam masyarakat manusia contohnya ada yang tidak Islam. Hatta dalam masyarakat Islam awal di zaman Rasulullah s.a.w di Madinah, dalam masyarakat ideal itupun wujud golongan munafik dari kalangan Islam. Seperti dalam masyarakat kita hari ini juga wujud golongan tidak Islam, Islam fasik dan Islam munafik dan sebagainya.

Oleh itu apakah tidak mungkin dalam masyarakat bunian, berlaku sama seperti masyarakat manusia? Waalahu a'lam.

Saturday, January 8, 2011

Sejarah Ayat Kursi

Sejarah Ayat Kursi

Ayat ini diturunkan setelah hijrah. Semasa penurunannya ia telah diiringi oleh beribu-ribu malaikat kerana kehebatan dan kemuliaannya. Syaitan dan iblis juga menjadi gempar kerana adanya satu perintang dalam perjuangan mereka. Rasullah s. a. w. dengan segera memerintahkan Zaid bt sabit menulis serta menyebarkannya.

Sesiapa yang membaca ayat Kursi dengan khusyuk setiap kali selepas solat fardhu, setiap pagi dan petang, setiap kali keluar masuk rumah atau hendak musafir, InsyaAllah akan terpeliharalah dirinya dari godaan syaitan, kejahatan manusia, binatang buas yang akan memudaratkan dirinya bahkan keluarga, anak-anak, harta bendanya juga akan terpelihara dengan izin Allah s. w. t.

Mengikut keterangan dari kitab"Asraarul Mufidah" sesiapa mengamalkan membacanya setiap hari sebanyak 18 kali maka akan dibukakan dadanya dengan berbagai hikmah, dimurahkan rezekinya, dinaikkan darjatnya dan diberikannya pengaruh sehingga semua orang akan menghormatinya serta terpelihara ia dari segala bencana dengan izin Allah. Syeikh Abu Abbas ada menerangkan, siapa yang membacanya sebanyak 50 kali lalu ditiupkannya pada air hujan kemudian diminumnya, InsyaAllah Allah akan mencerdaskan akal fikirannya serta Fadhilat Ayat Al-Kursi mengikut Hadis-Hadis Rasullullah s. a. w. bersabda bermaksud:

"Sesiapa pulang ke rumahnya serta membaca ayat Kursi, Allah
hilangkan segala kefakiran di depan matanya."

Sabda baginda lagi;

"Umatku yang membaca ayat Kursi 12 kali pada pagi Jumaat, kemudian berwuduk dan solat sunat dua rakaat, Allah memeliharanya daripada kejahatan syaitan dan kejahatan pembesar."

Orang yang selalu membaca ayat Kursi dicintai dan dipelihara Allah sebagaimana DIA memelihara Nabi Muhammad. Mereka yang beramal dengan bacaan ayat Kursi akan mendapat pertolongan serta perlindungan
Allah daripada gangguan serta hasutan syaitan. Pengamal ayat Kursi juga, dengan izin Allah, akan terhindar daripada pencerobohan pencuri. Ayat Kursi menjadi benteng yang kuat menyekat pencuri daripada memasuki rumah. Mengamalkan bacaan ayat Kursi juga akan memberikan keselamatan ketika dalam perjalanannya. Ayat Kursi yang dibaca dengan penuh khusyuk, Insya-Allah, boleh menyebabkan syaitan dan jin terbakar. Jika anda berpindah ke rumah baru maka pada malam pertama anda menduduki rumah itu eloklah anda membaca ayat Kursi 100 kali, insya-Allah mudah-mudahan anda sekeluarga terhindar daripada gangguan lahir dan batin. Barang siapa membaca ayat Al-Kursi apabila berbaring di tempat tidurnya, Allah
mewakilkan 2 orang Malaikat memeliharanya hingga subuh.

Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir setiap solat Fardhu, ia akan berada dalam lindungan Allah hingga solat yang lain. Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir tiap solat, tidak menegah akan dia daripada masuk syurga kecuali maut, dan barang siapa membacanya ketika hendak tidur, Allah memelihara akan dia ke atas rumahnya, rumah jirannya & ahli rumah2 di sekitarnya. Barang siapa membaca ayat Al-Kursi diakhir tiap-tiap solat Fardhu, Allah menganugerahkan dia hati-hati orang yang bersyukur perbuatan2 orang yang benar, pahala nabi2 juga Allah melimpahkan padanya rahmat. Barang siapa membaca ayat Al-Kursi sebelum keluar rumahnya, maka Allah mengutuskan 70,000 Malaikat kepadanya, mereka semua memohon keampunan dan mendoakan baginya. Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir solat Allah azza wajalla akan mengendalikan pengambilan rohnya dan ia adalah seperti orang yang berperang bersama nabi Allah sehingga mati syahid. Barang siapa yang membaca ayat al-Kursi ketika dalam kesempitan nescaya Allah berkenan memberi pertolongan kepadanya Dari Abdullah bin 'Amr r. a. , Rasullullah s. a. w. bersabda,

" SAMPAIKANLAH PESANKU BIARPUN SATU AYAT...."

Sunday, December 26, 2010

Di antara dua tangisan..

Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta Alam.

AIR MATA ada kalanya penyubur hati, penawar duka dan ada kalanya ia menjadi buih kekecewaan yang menghimpit perasaan dan kehidupan ini. Air mata seorang manusia hanyalah umpama air kotor yang berlimpahan. Namun setitis air mata kerana takut kepada ALLAH SWT persis perata indah yang bergemerlapan terpancar dari segala arah dan penjuru. Penghuni syurga ialah mereka yang banyak mencucurkan air mata demi ALLAH SWT dan RasulNya, bukan semata-mata kerana harta dan kedudukan serta hal duniawi. Pencinta dunia menangis kerana dunia yang hilang. Perindu akhirat pula menangis kerana dunia yang datang. Alangkah sempitnya kuburku, keluh seorang batil… alangkah sedikitnya hartaku, kesal si hartawan (pemuja dunia). Dari mata yang mengintai setiap kemewahan yang mulus penuh rakus, mengalirlah air kecewa kegagalan. Dari mata yang redup merenung akhirat yang dirasakan dekat, mengalirlah air mata keinsafan mengharap kemenangan serta rindu akan RasulNya.

“Penghuni syurga itulah orang-orang yang menang.” (al-Hasr:20)

Tangis adalah basahan hidup. Justeru, hidup dimulakan dengan tangis, dicela oleh tangis dan diakhiri dengan tangis.. Manusia sentiasa dalam dua tangisan. Sabda Rasulullah SAW, “Ada titis yang ALLAH SWT cintai, pertama titisan darah para syuhada dan titisan air mata yang jatuh kerana takutkan ALLAH SWT.”

Nabi Muhammad SAW bersabda lagi, “Tangisan seorang pendosa lebih ALLAH kasihi daripada tasbih para wali.” Oleh itu, berhati-hatilah dalam tangisan, kerana ada tangisan yang membawa bahagia untuk selamanya. Seorang pendosa yang menangis kerana dosanya adalah lebih baik daripada seorang ‘abid. Nabi Muhammad SAW bersabda, “Kejahatan yang diiringi oleh rasa sedih, lebih ALLAH sukai dari satu kebaikan yang menimbulkan rasa takbur.” Ketawa yang berlebihan tanda lalai dan kejahilan. Ketawa seorang ulama’ dunia hilang ilmu, hilang wibawanya. Ketawa seorang jahil, semakin keras hati dan perasaannya. Nabi Muhammad SAW bersabda “Jika kamu tahu apa yang aku tahu nescaya kamu banyak menangis dan sedikit ketawa.” Seseorang Hukama pernah bersyair, “Aku hairan dan terperanjat melihat orang ketawa kerana perkara-perkara yang akan menyusahkan, lebih banyak daripada perkara yang menyenangkan.”

Salafussoleh menangis walaupun banyak beramal, bimbang tidak diterima ibadatnya, kita ketawa walaupun sedar kita kosong daripada amalan. Lupakah kita? Sabda Nabi SAW, “Siapa yang berbuat dosa dalam ketawa akan dicampakkan ke neraka dalam keadaan menangis.” Kita gembira jika apa-apa yang kita idamkan tercapai. Kita menangis kalau apa yang kita cita-citakan terabai. Nikmat disambut ria, kedukaan menjemput duka.

Namun ALLAH SWT telah berfirman,
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. ALLAH SWT mengetahui sedangkan kamu tidak.” (al-Baqarah:216)

Menangislah wahai diri, agar senyumanmu banyak dikemudian hari kerana engkau belum tahu nasibmu dihisab kanan atau hisab kiri. Di sana, lembaran sejarahmu dibuka satu persatu, meyemarakkan rasa malu berabad-abad lamanya bergantung kepada syafa’at Rasulullah SWT yang dikasihi Tuhan.

Kenangilah sungai-sungai yang mengalir itu banjiran air mata Nabi Adam yang menagis bertaubat, maka suburlah dan sejahteralah bumi kerana terangkatnya taubat. Menagislah seperti Saidina Umar yang selalu memukul dirinya dengan berkata, “Kalau semua masuk ke dalam syurga kecuali seorang, aku takut akulah orang itu. “Menangis Ummu Sulaim apabila ditanya, “Kenapa engkau menangis?” Jawabnya, “Aku tidak mempunyai anak lagi untuk ku kirimkan ke medan perang.” Menangislah seperti Ghazwan yang tidak sengaja terpandang wanita rupawan. Diharamkan matanya memandang langit seumur hidup, lalu berkata, “Engkau mencari kesusahan dengan pandangan itu.”

Ibnu Mas’ud r.a berkata, “Seseorang yang mengerti al-Quran dikenali waktu malam ketika orang lain tidur , dan waktu siangnya ketika orang lain tidak berpuasa, sedihnya diwaktu orang lain ketawa. Diamnya di waktu orang lain berbicara, khusyuknya di waktu orang lain berbangga, seharusnya orang yang mengerti al-Quran itu tenang, lunak dan tidak boleh menjadi seorang yang keras, kejam, lalai bersuara keras dan marah.” Tanyakan kepada orang-orang yang soleh mengapa tidak berhibur. “Bagaimana hendak bergembira sedangkan mati itu di belakang kami, kubur dihadapan kami dan perhentian kami ialah ALLAH SWT”

Tuesday, November 30, 2010

Enam Pekara Dari Imam Ghazali

1. Apakah yang paling dekat dengan diri kita di dunia?
2. Apakah yang paling jauh daripada diri kita di dunia?
3. Apakah yang paling besar di dunia?
4. Apakah yang paling berat di dunia?
5. Apakah yang paling ringan di dunia?
6. Apakah yang paling tajam di dunia?

Pada suatu hari Imam Ghazali berkumpul bersama-sama dengan murid-muridnya lalu beliau bertanya beberapa soalan:

PERTAMA : beliau bertanya apakah yang paling dekat dengan diri kita di dunia lalu muridnya menjawab :"Orang tua, guru, kawan dan sahabat". Imam Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang diberikan adalah benar tetapi jawapan yang paling tepat sekali bagi soalan ini ialah 'mati'. Sila rujuk surah Ali 'Imran ayat 185.

KEDUA : beliau bertanya apakah yang paling jauh daripada diri kita di dunia lalu muridnya menjawab :" negara China, bulan, matahari dan bintang". Lalu Imam Ghazali menegaskan bahawa semua jawapan yang diberi adalah betul tetapi yang paling betul ialah 'masa lalu'. Walau dengan apa cara sekali pun kita tidak akan dapat kembali ke masa lalu. Oleh sebab itu kita mesti menjaga hari ini dan hari mendatang dengan amalan soleh agar kita tidak sesal di kemudian hari nanti.

KETIGA : beliau bertanya tentang apakah yang paling besar di dunia ini lalu muridnya menjawab: " Gunung, bumi, matahari". Lalu Imam Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang diberi adalah tepat tetapi yang paling tepat ialah 'nafsu'. Maka kita mesti berhati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu mengheret kita ke neraka jahanam. Rujuk surah al-A'raf ayat 179

KEEMPAT : beliau bertanya tentang apakah yang paling berat di dunia lalu muridnya menjawab :" besi, gajah". Imam Ghazali mengatakan bahawa semua jawapan adalah benar tetapi yang paling benar ialah 'menanggung amanah'. Segala tumbuhan, binatang, gunung ganang tidak sanggup memikul amanah tetapi manusia sanggup memikulnya ketika Allah meminta untuk memikul amanah khalifah di bumi. Manusia ramai yang rosak dan binasa kerana tidak mampu memikul amanah dengan baik akibat kecuaian dan kedegilan mereka dalam mengikut lunas yang telah ditetapkan oleh syarak.

KELIMA : beliau menyoal tentang apakah yang paling ringan di dunia lalu muridnya menjawab :" Kapas, angin, debu dan awan". Imam Ghazali menyatakan bahawa semua jawapan yang diberi adalah benar tetapi yang paling benar ialah 'meninggalkan sembahyang' kerana manusia sering mempermudah dan meringankan sembahyang disebabkan terlalu mementingkan urusan dunia.

KEENAM : beliau bertanya tentang apakah yang paling tajam di dunia lalu muridnya menjawab:''Pedang". Imam Ghazali mengatakan bahawa jawapan itu adalah betul tetapi yang paling betul ialah 'lidah manusia' di mana disebabkan lidah maka manusia suka menyakiti dan melukai perasaan orang lain sehingga berlakunya perbalahan dan perpecahan.

Tuesday, November 23, 2010

Renungan buat semua

Terasa berat bagi kaki ini melangkah kerana setiap hari dosaku semakin bertambah. Namun Allah itu tidak pernah membebani hamba-hambaNya melainkan sesuai dengan keupayaan. Oleh itu Dia telah berjanji bahawa:

’Kecuali orang-orang yang bertaubat dan memperbaiki (amal buruk mereka) serta menerangkan (apa yang mereka sembunyikan); maka orang-orang itu, Aku terima taubat mereka dan Akulah Yang Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani’ [Al-Baqarah:160]

Serulah asma’ Nya yang terkandung nama-namaNya bagi menenangkan jiwa yang lara, serulah At-Tawwab itu, Al-Ghaffar ,Ar-Rahman kerana telah dijanjikan olehNya.

’... Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.’ [Ar-Rad:28]

Agama itu sebuah pencarian wahai sahabatku. Tidaklah Allah mengurniakan hidayahNya kepada mereka yang tidak berusaha. Walhal Rasulullah s.a.w yang dicintai, kekasihNya jua pergi beruzlah di gua Hira’ sebelum menjadi seorang Rasul. Baginda bermunajat, beribadah dan berdoa. Baginda mengkaji dan mendalami erti kehidupan sambil merenung keindahan ciptaanNya untuk memahami kerosakan dan kehancuran masyarakat arab jahiliah ketika itu. Peristiwa Hijrah sendiri menekankan syariatullah dan sunnatullah bukan semata-mata mengharapkan bantuanNya kerana usaha itu sebahagian daripada tawakal. Oleh itu, ayuh sahabat perkukuhkanlah keinginan dihati, kuatkanlah munajat dimalam harimu. Berdoalah agar Allah melindungimu disetiap langkah hidup mu hingga akhirnya bisa bertemu dengan pemilik mutlak seluruh semesta.

Ilmu adalah sesuatu yang tidak dapat dinafikan lagi kepentingannya. Setiap perkara memerlukan ilmu agar diri dapat beramal dengannya dan ilmu itu mestilah ilmu yang bersumberkan Quran dan Sunnah. Seorang doktor yang berilmu namun tidak beramal dengan ilmunya pasti akhirnya akan lupa dan tidak dapat lagi untuk mengubati pesakitnya, kerana luasnya dan banyaknya ilmu seorang yang bernama doktor itu apatah lagi seorang muslim seperti:

Hadis Rasulullah s.a.w : “Kebijaksanaan itu barang hilang kepunyaan orang beriman. Di mana saja ia menemuinya, dialah yang lebih berhak ke atasnya.”

Justeru,marilah kita tambahkan ilmu di dada agar kita faham apa yang dilakukan yang seterusnya akan menimbulkan bibit-bibit kemahuan untuk melaksanakannya.Diharapkan akhirnya kita akan berjaya menyampaikan kepada saudaranya.

’Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.’[Al-Imran:104]

Jadikanlah masa silam, dosa-dosamu dan kesilapan lalu sebagai pendorong untuk diri semakin dekat kepada Nya. Tiada manusia di dunia yang tidak berbuat salah melainkan Nabi dan Rasul pilihanNya. Kita tiada bezanya, tiaga guna riak dan ujub itu kerana suatu masa nanti semua pasti akan dibuka

’ Bahkan manusia itu, (anggotanya) menjadi saksi terhadap dirinya sendiri,’ [Al-Qiyamah:14]

dan ketika itu

’Sesiapa yang datang membawa amal baik (pada hari akhirat) maka baginya balasan yang lebih baik daripadanya dan sesiapa yang datang membawa amal jahat, maka mereka yang melakukan kejahatan tidak di balas melainkan dengan apa yang mereka kerjakan.’[Al-Qasas:84]

’Dan berserahlah engkau kepada Allah Tuhan Yang Hidup, yang tidak mati; serta bertasbihlah dengan memujiNya dan cukuplah Dia mengetahui secara mendalam akan dosa-dosa hambaNya;’ [Al-Furqan:58]

Saturday, November 20, 2010

Dari As-syahid Al-Imam Hassan Al-Banna

Berkata As-syahid Al-Imam Hassan Al-Banna:

1. Sesungguhnya ramai yang mampu berkata-kata dan sedikit dari mereka yang bertahan dalam beramal dan bekerja. Ramai pula dari yang sedikit itu yang mampu bertahan di waktu beramal dan sedikit dari mereka yang mampu memikul bebanan jihad yang sukar dan berat. Para Mujahidin itu adalah angkatan terpilih yang sedikit bilangannya tetapi menjadi penolong dan menjadi Ansarullah. Adakalanya mereka tersilap tetapi akhirnya menepati tujuan sekiranya mereka diberi Inayah dan Hidayah oleh Allah.

"Sesungguhna kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendakiNya, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk" (Al-Qashash:56)

"Dan barangsiapa yang berjihad, maka sesungguhnya jihadnya itu adalah untuk dirinya sendiri. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam" (Al-Ankabut:6)

2. Sesungguhnya ujian-ujian Allah adalah PROSES PENAPISAN, untuk menapis orang yang benar dan yang bohong; orang yang beriman dan Munafik; orang yang sabar dan gopoh.

"..dan agar Allah membersihkan orang-orang yang beriman (dari dosa mereka) dan membinasakan orang-orang yang kafir" (Ali-'Imran:141)

"Allah sekali-kali tidak akan membiarkan orang-orang yang beriman dalam keadaan kamu sekarang ini, sehingga Dia menyisihkan yang buruk(munafik) dengan yang baik (mu'min). Dan Allah sekali-kali tidak akan memperlihatkan kepada kamu hal-hal yang ghaib, akan tetapi Allah memilih siapa yang dikehendakiNya di antara rasul-rasulNya. Kerana itu berimanlah kepada Allah dan rasul-rasulNya; dan jika kamu beriman dan bertakwa, maka bagimu pahala yang besar" (Ali-'Imran:179)

"Dan sesungguhnya Kami benar-benar akan menguji kamu agar Kami mengetahui orang-orang yang berjihad dan bersabar di antar kamu; dan agar Kami menyatakan (baik buruknya) hal ehwalmu" (Muhammad:31)

"Musa berkata kepada kaumnya:'Mohonlah pertolongan kepada Allah dan bersabarlah; sesungguhnya bumi (ini) kepunyaan Allah; dipusakakanNya kepada siapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya. Dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa" (Al-A'Raaf:128)

3. Sesungguhnya da'wah berdiri di atas keazaman, bukan di atas kemudahan.

"Allah berfirman:'Jangan takut (mereka tidak akan dapat membunuhmu), maka pergilah kamu berdua dengan membawa ayat-ayat Kami (mu'jizat-mu'jizat); sesungguhnya Kami bersamamu mendengarkan (apa-apa yang mereka katakan)," (Asy-Syu'araa':15)

4. Orang yang beriman apabila diganggu Syaitan, mereka cepat sedar dan kembali kepada Allah.

"Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa bila mereka ditimpa was-was dari syaitan, mereka ingat kepada Allah, maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan-kesalahannya. Dan teman-teman mereka(orang-orang kafir dan fasik) membantu syaitan-syaitan dalam menyesatkan dan mereka tidak henti-hentinya(menyesatkan)" (Al-A'raaf:201-202)

Wahai saudaraku, hendaklah kita tetap berada di atas Jalan Da'wah ini. Sesungguhnya janji-janjiNya adalah benar.
Free Hit Counter